Bermula hanya sekadar hobi, kini pelanggannya dari seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

LEGEH – Minatnya terhadap ikan laga sejak sekolah rendah membuatkan dia tidak pernah putus asa walaupun sembilan kali gagal dalam percubaan hasilkan baka ikan laga hiasan.

Berkat kesabaran dan kesungguhan dimiliki, akhirnya percubaan kali ke-10, Raja Mokhriz R Mansor, 22 berjaya menghasilkan 500 baka ikan laga hiasan selepas lima bulan mempraktikkan kaedah cuba dan jaya ‘(trial and error’).
Ketika itu, umurnya baharu 11 tahun, namun disebabkan minat mendalam terhadap ikan laga hiasan, dia cuba melakukan pembiakan sendiri walaupun tanpa pengalaman dan ilmu yang mencukupi.
Berbekalkan modal RM20 ketika itu, Raja Mokhriz membeli sepasang baka dari spesies half moon untuk dikacuk dan dijadikan bakar.

Berpegang pada prinsip pantang mengalah, dengan bantuan bapanya, R Mansor Raja Mustaffa, 60-an, akhirnya usaha tanpa kenal erti putus asa itu berhasil.

Percubaan ke-10 menjadi Raja Mokhriz berkata, bermula daripada percubaan ke-10, dia mula lakukan proses kacukan sendiri sekadar suka- suka dan kepuasan diri.

“Permintaan terus ada bila ramai yang tahu, saya jual pada rakan dan guru, dalam usia kanak-kanak ketika itu ia memang keseronokan luar biasa.

Dari sekolah rendah hingga ke peringkat menengah, saya masih teruskan minat ini sebelum berhenti seketika untuk menyambung pengajian di Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga Kedah,” katanya.

Raja Mokhriz melihat perkembangan tumbesaran ikannya di kolah yang dibuat khas di tapak ternakannya.

 

Eksperimen sendiri

Raja Mokhriz berkata, selepas menamatkan pengajian selama dua tahun dalam bidang ruminan di kolej berkenaan, dia kembali meneruskan minatnya secara lebih serius berikutan permintaan semakin menggalakkan.

Jelasnya, dia terus melakukan eksperimen sendiri untuk meningkatkan daya tahan baka dihasilkan seterusnya dapat membesar dengan baik.

Bagaimanapun Raja Mokhriz memberitahu, risiko kematian tidak dapat dielakkan apabila hampir separuh daripada 500 telur dihasilkan ibu ketika proses persenyawaan tidak menetas.

Katanya, ia antara cabaran yang masih dihadapi ketika ini, namun ia tidak menjejaskan perniagaannya mahupun merugikan sebaliknya hanya margin keuntungan lebih kecil.

Proses menghasilkan baka bermula apabila baka jantan dan betina dibiarkan bersama semalaman. Apabila ia bertelur, asingkan baka betina dari telur itu dan biarkan baka jantan menjaganya.

“Biasanya dua hari ia sudah menetas. Biarkan baka jantan terus berada bersama anak-anaknya selama seminggu sebelum diasingkan dan direhatkan.

“Dua minggu selepas itu, baharulah baka ini jalani proses persenyawaan semula untuk hasilkan telur dan baka yang lain,” katanya.

Menurutnya, setiap baka boleh disenyawakan sehingga lima kali sahaja bagi memastikan benih atau baka dihasilkan berkualiti.

Raja Mokhriz di hadapan kedai ikan dan tapak ternakan ikan laga hiasannya.

Terima permintaan dari seluruh negara

MENGULAS mengenai persaingan, Raja Mokhriz berkata, ia berlaku secara sihat kerana tidak ramai mengusahakan perniagaan dan penternakan ikan laga hiasan di sekitar kawasannya setakat ini.

Menurut anak keempat daripada lima beradik ini, penternakan dan perniagaan ikan laga hiasan ini boleh dikatakan menjanjikan pulangan agak lumayan kerana mempunyai peminatnya sendiri.

“Walaupun hanya untuk suka-suka tapi sekitar RM600 sebulan saya boleh dapat hasil daripada ikan laga ini, itupun hanya beberapa jam sahaja menguruskannya dalam sehari kerana turut melakukan penternakan kambing.
“Pelanggan saya dari seluruh negara kerana urus niaga turut dibuat secara atas talian (Facebook dan Instagram Raja Mokhriz), selain yang berkunjung ke kedai dan tapak pembiakan, jadi apabila melibatkan jarak jauh saya akan pos,” katanya.

Selain half moon, ikan laga hiasan lain yang diternak termasuklah daripada spesies plakat, double tail, crown tail, red dragon plakat, dan blue plakat.

“Harga bagi ikan-ikan ini antara RM4 hingga RM100 bergantung pada spesiesnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Mokhriz sempat berkongsi tip kepada belia yang mungkin berminat menceburkan diri dalam penternakan serta perniagaan ikan laga hiasan ini agar belajar selok-belok mengendalikannya terlebih dahulu.

“Mungkin nampak mudah tapi hakikatnya, jika tak kena cara ia boleh buat kita putus asa lebih-lebih lagi apabila perlu melakukan perkara sama berulang kali sebelum berjaya mendapatkan hasil diharapkan,” katanya.

Kredit : gpsbestari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here