Isteri Berhak Tuntut Harta Sepencarian Jika Suami Nak Kahwin Lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Suami nak kahwin lagi? Jangan cepat meroyan sebab nanti anda yang rugi, tak dapat apapun kecuali madu!

Ramai tak sedar sebagai isteri, anda bukan saja boleh tuntut dulu harta sepencarian sepanjang perkahwinan dengan suami bila suami meninggal dunia atau bercerai saja tetapi boleh tuntut sebelum suami ingin menikah baharu.

Niaga Kini nak kongsikan hasil tulisan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohamad Ali Roshidi bin Ahmad mengenai tuntutan harta sepencarian.

[Baca Juga i-Citra KWSP: Tarikh Bayaran November & Disember, Cara Semak Status Anda]

Jenis harta sepencarian:

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama suami isteri sepanjang perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Harta pusaka bukan harta sepencarian dan tidak boleh dituntut oleh isteri tetapi boleh mewarisinya melalui faraid.

Contoh harta sepencarian adalah rumah kediaman, bangunan komersil, tanah, wang pampasan tanah, kenderaan, barang kemas, peralatan dan perkakasan rumah serta wang dalam akaun simpanan.

Cara membuat tuntutan:

  • Kemukakan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah.
  • Mahkamah akan menentukan kadar bahagian yang boleh dimiliki oleh isteri berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan tertentu oleh pihak mahkamah:
  • Tempoh perkahwinan
  • Sumbangan pasangan suami isteri bagi memperoleh harta berkenaan, secara langsung atau tidak langsung.
  • Kemukakan bukti atau saksi anda sama-sama memberi sumbangan ke atas perolehan harta yang dituntut.

Sumbangan secara langsung:

  • Berbentuk kewangan
  • Usaha isteri untuk memperoleh harta berkenaan.

Sumbangan tidak langsung:

Kerja suri rumah, idea, dorongan yang membolehkan suami bekerja dan mengumpul harta

Contoh kes tuntutan harta sepencarian:

Kebanyakan kes tuntutan harta sepencarian dibuat oleh pihak isteri. Berlaku pertikaian dalam pembahagian harta sepencarian apabila harta itu diperolehi semata-mata oleh usaha pihak suami. Malah, sumbangan tidak langsung pihak isteri juga sering dipertikaikan oleh pihak suami. Walaupun berlaku pertikaian, isteri perlu tampil untuk menuntut hak mereka. Mahkamah tetap akan mengambil kira takat sumbangan yang telah diberikan pihak isteri, sama ada sumbangan langsung atau tidak langsung.

1. Kes Boto’ bt Taha lawan Jaafar Muhamad (1984):

Nahkamah memutuskan: “Memang betul bahawa pihak menuntut tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan pihak kena tuntut, akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Sesungguhnya ia telah menyebut dalam keterangannya bahawa pihak menuntut bersamanya dalam perjalanannya disebabkan kesunyian jika ia tidak berbuat demikian. Oleh itu, adalah nyata perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta-harta itu harta sepencarian”.

2. Kes Bunga binti Ibrahim lawan Ila @ Zila bt Abdullah dan lain-lain (1999):

Isteri yang kematian suami telah menuntut pembahagian terhadap harta yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkahwinannya sebagai harta sepencarian. Mahkamah memutuskan bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian dan isteri berhak mendapatkannya.

3.Kes Habsah bt Saad lawan Surianata Baharom dan Saari Samad (2004):

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang juga membenarkan isteri menuntut haknya ke atas harta sepencarian yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan dengan suaminya.

Keputusan yang sama juga diputuskan dalam kes Hajjah Saudah lawan Hanafi Hj Daud dan lain-lain (1990). Isteri yang kematian suami dibenarkan untuk menuntut haknya mendapatkan harta sepencarian yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Kadar Bahagian Berdasarkan Sumbangan:

Kadar bahagian diperoleh isteri adalah berdasarkan kepada tahap sumbangan yang diberikan untuk memperolehi harta yang dituntut. Berdasarkan kes-kes yang diputuskan kadang kala pihak isteri akan mendapat bahagian 1/3, atau 1/2 dan kadang kala tidak mendapat apa-apa bahagian.

Pihak mahkamah akan menentukan kadar pembahagian setelah mengambil kira pelbagai sumbangan yang telah dibuat oleh isteri. Kes-kes mahkamah terdahulu juga menunjukkan bahawa keputusannya adalah berbeza bergantung kepada kekuatan bukti yang dikemukakan.

Mahkamah boleh memerintahkan pihak yang menuntut, iaitu isteri diberikan bahagian pada kadar yang ditentukan oleh mahkamah, sama ada 1/5, atau 1/4, atau 1/3, atau 1/2, atau satu kadar yang lebih tinggi, atau pihak yang menuntut tidak mendapat apa-apa bahagian.

Apabila kematian suami, isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas semua harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan mereka berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Tuntutan hendaklah dibuat selepas ditunaikan semua tuntutan perbelanjaan pengurusan jenazah, menyelesaikan hutang si mati dan sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan.

Pastikan anda kongsikan info bermanfaat ini dengan kawan-kawan, keluarga dan di semua platform sosial anda.

Semoga perkongsian anda ini akan dapat memudahkan urusan mereka yang memerlukan dan menjadi asbab pahala berpanjangan.ini

Like & Follow Niaga Kini untuk lebih banyak info terkini mengenai perniagaan, isu semasa, kerjaya, bantuan & keusahawanan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here